Hatimurni rai 725 pelajar dalam program bacaan Al-Quran 30 juzuk sempena Nuzul Quran
KUALA LUMPUR – Seramai 725 pelajar institusi pendidikan Al-Quran, Hatimurni diraikan dalam Majlis Bacaan Al-Quran 30 Juzuk dan Hari Apresiasi Peningkatan Al-Quran serta Hafazan yang diadakan sempena sambutan Nuzul Al-Quran.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu turut menghimpunkan kira-kira 1,500 ibu bapa dan ahli keluarga yang hadir memberi sokongan kepada pelajar yang menunjukkan peningkatan dalam bacaan serta hafazan Al-Quran.
Program berkenaan dirasmikan oleh wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Syed Fahmi Akmal Syed Isa yang menghargai usaha berterusan Hatimurni dalam memperkukuhkan pendidikan Al-Quran dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran program itu antara lain bertujuan menyemarakkan sambutan Nuzul Al-Quran, meraikan pencapaian pelajar dalam bacaan dan hafazan Al-Quran serta melaksanakan bacaan Al-Quran 30 juzuk secara berjemaah sebagai simbol kecintaan terhadap kitab suci umat Islam.

Majlis tersebut turut diselitkan bacaan doa selamat khusus buat para pelajar Hatimurni Online yang berada di Emiriah Arab Bersatu agar sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.
Pengasas Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni berkata, antara misi utama institusi berkenaan adalah menjadi rakan strategik kepada ibu bapa dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama yang kukuh.
“Hatimurni percaya bahawa pendidikan Al-Quran bukan sekadar membaca atau menghafaz, tetapi ia adalah asas penting untuk membina akidah yang kukuh, akhlak yang baik dan kefahaman agama yang jelas dalam diri anak-anak.
“Perjuangan Hatimurni adalah untuk terus membantu meningkatkan pengetahuan agama dalam kalangan generasi muda serta mengukuhkan pegangan mereka melalui pendidikan yang berteraskan akidah dan akhlak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada para pelajar, malah turut memberi inspirasi kepada ibu bapa dan masyarakat untuk terus memartabatkan Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan.
“Hatimurni juga komited untuk terus melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu membaca dan menghafaz Al-Quran, tetapi turut memahami serta menghayati nilai-nilai yang terkandung di dalamnya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







