HATI merupakan organ yang sangat penting dalam mempengaruhi setiap aspek kehidupan umat Islam.
Dalam satu Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada segumpal daging; apabila ia baik, baiklah seluruh jasad, dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, ia adalah hati.”
Penyakit hati seperti riyak, hasad dengki, ujub, tamak, baran, was-was, sum’ah, takbur dan cinta dunia ini boleh menutupi nur iman dan melemahkan sifat mahmudah yang sepatutnya menjadi perhiasan seorang Mukmin.
Ia bukan sahaja merosakkan hubungan makhluk dengan Pencipta, tetapi juga mengganggu keharmonian sosial.
Lebih parah, ia boleh membawa kepada kemurkaan Allah dan menjauhkan seseorang daripada rahmat-Nya.

Oleh itu, memahami bahaya penyakit hati serta usaha menyucikannya adalah kewajipan setiap Muslim untuk meraih kejayaan di dunia dan akhirat.
Penulis buku motivasi siri Pujuklah Hati, Bonda Nor berkongsi, dalam mengubati penyakit hati ia adalah proses yang memerlukan muhasabah diri, istiqamah dan hubungan yang kukuh dengan Allah SWT.
“Saya sentiasa menasihatkan diri dan followers agar sentiasa melazimi istighfar dalam membilas kebaikan.
“Maknanya apabila selesai melakukan apa jua kebaikan, kita harus memohon keampunan Allah dengan lafaz istighfar bagi mengelak diri daripada bersikap riyak atau ujub dengan apa yang telah kita lakukan,” ujar beliau.
Menurut Bonda Nor, beliau sangat gerun apabila membaca satu hadis Qudsi mengenai tiga golongan yang akan dilempar ke neraka di akhirat kelak.
“Walaupun di dunia, mereka dianggap orang yang mulia dengan segala kebaikan yang dilakukan, tetapi hakikatnya Allah lebih mengetahui niat sebenar mereka berbuat demikian.
“Sebab itu saya sangat terkesan dengan hadis ini dan ia sering menjadi pedoman saya dalam mengawal penyakit hati yang berleluasa dalam diri,” jelasnya.

Hadis Riwayat Muslim itu agak panjang, namun ia menyentuh tentang golongan orang yang mati syahid, orang yang berilmu dan mengajarkannya serta orang yang diberi kuasa dan kekayaan, kemudian dia gemar bersedekah.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Dia didatangkan, lalu Allah memperingatkan kepadanya nikmat-nikmat-Nya dan dia mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku berperang kerana-Mu sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta. Tetapi engkau berperang supaya dikatakan pemberani, dan itu telah dikatakan.’ Kemudian diperintahkan supaya dia diseret di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.
“Orang kedua adalah seorang lelaki yang mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membaca Al-Qur’an. Dia didatangkan, lalu Allah memperingatkan kepadanya nikmat-nikmat-Nya dan dia mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya, dan membaca Al-Qur’an kerana-Mu.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta. Tetapi engkau mempelajari ilmu supaya dikatakan alim, dan engkau membaca Al-Qur’an supaya dikatakan qari, dan itu telah dikatakan.’ Kemudian diperintahkan supaya dia diseret di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.
“Orang ketiga adalah seorang lelaki yang telah Allah beri keluasan rezeki dan berbagai jenis harta kekayaan. Dia didatangkan, lalu Allah memperingatkan kepadanya nikmat-nikmat-Nya dan dia mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak meninggalkan suatu jalan pun yang Engkau sukai untuk berinfak, kecuali aku berinfak di jalan itu kerana-Mu.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta. Tetapi engkau melakukannya supaya dikatakan dermawan, dan itu telah dikatakan.’ Kemudian diperintahkan supaya dia diseret di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.”
Allahuakbar. Moga Allah jauhkan kita daripada golongan seperti yang dinyatakan di dalam hadis tersebut.
Sementara itu pendakwah bebas, Ustaz Dr. Abdullah Abdol Razak berkata, antara sebab utama kenapa iblis dihalau oleh Allah dari syurga-Nya kerana keangkuhannya dan mempunyai sifat hasad dengki kepada Nabi Adam AS.

“Sombong atau hasad dengki ini merupakan satu penyakit yang akan menyebabkan betapa tinggi pun kedudukan kita, ia tidak ada nilainya di sisi Allah SWT,” ujar beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Lah.
Tambah beliau, empat perkara boleh dilakukan untuk mengawal diri daripada bersifat hasad dengki atau penyakit hati yang lain kepada orang lain.
“Yang pertama, tanamkan rasa sentiasa bersyukur kepada Allah dengan apa yang telah Allah berikan kepada kita. Kedua, muhasabah setiap apa yang berlaku kepada kita pasti akan ada kebaikannya.
“Ketiga, perbanyakkan doa sebab hasad dengki ini kita tak tahu bila-bila masa ia boleh menyentuh jiwa kita. Dan keempat zikirkan selalu dalam diri kita Hasbi Allahu wa ni’mal wakil ni’mal maula wa ni’man nasir yang bermaksud ‘Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami, Dialah sebaik-baik Pelindung dan Dia sebaik-baik Penolong.’
“Teruslah ingat bahawa jika ada penyakit hati bersarang dalam diri ia akan menyebabkan kedudukan kita di sisi Allah sangat hina meskipun ternampak mulia di mata manusia,” tegasnya.
Imam Al-Ghazali pernah menukilkan: “Hati yang bersih tidak akan merasa sempit walaupun diuji dengan kesusahan.”
Semoga kita akan terus berusaha memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik dan memiliki hati yang tulus demi mengharapkan redha Allah dan Rasul-Nya.
Antara doa yang boleh kita amalkan dalam mengawal penyakit hati ialah: “Ya Allah, bersihkanlah hatiku daripada sifat-sifat tercela. Jadikanlah aku hamba-Mu yang sentiasa bersyukur, rendah hati dan mencintai kebaikan.”
Antara tips menjaga hati:
1. Perbanyakkan membaca Al-Quran
Al-Quran adalah penawar terbaik bagi hati. Fahami maknanya dan amalkan sebagai panduan dalam kehidupan. Insya-Allah, kita mampu tenang berdepan apa juga dugaan.
2. Jaga solat dan amalan sunnah
Solat adalah hubungan langsung kita dengan Allah. Tingkatkan amalan sunnah seperti Qiyamullail untuk melembutkan hati.
3. Bersahabat dengan orang soleh
Teman yang baik akan membawa kita ke jalan yang benar. Jauhkan diri daripada pengaruh yang boleh merosakkan hati.
4. Maafkan dan bersyukur selalu
Bersihkan hati daripada dendam dan sifat iri. Latih diri untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








