JENAYAH & MAHKAMAH

Hina, ugut kerabat diraja Terengganu: Lelaki mengaku bersalah, diarah jalani pemeriksaan psikiatrik

SEPANG – Seorang lelaki diperintah menjalani penilaian psikiatrik di hospital kerajaan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menghina dan mengancam kerabat Diraja Terengganu menerusi platform X.

Azman Hakim Hassanuddin, 35, diarahkan menjalani penilaian psikiatrik oleh Hakim Ahmad Fuad Othman, dengan mahkamah menetapkan 28 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam berdepan lima pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan tindakannya memuat naik kandungan bersifat jelik dan ancaman menerusi akaun X pada 19 Februari lalu.

Berdasarkan empat pertuduhan, Azman Hakim didakwa membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya pada pukul 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang.

Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam sifatnya pada 3.46 petang dengan niat untuk mengugut mana-mana orang.

Kesemua hantaran itu dilihat oleh pegawai penyisat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 20 Februari pada pukul 6.30 petang di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, Sepang, Selangor.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button