BERITA SEMASA

Sanusi mohon maaf daripada Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan beliau telah memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat yang diutuskan bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan pada Jumaat, lapor Sinar Harian.

Muhammad Sanusi berkata, surat berkenaan didahului dengan merafak sembah memohon ampun kepada Sultan Selangor dan berharap tidak timbul kemurkaan baginda bersabit isu-isu yang didakwa sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

“Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” katanya yang memuat naik penjelasan itu di Facebook miliknya pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), berkata beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak dapat memaparkan surat berkenaan di laman sosial itu untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.

Dalam masa yang sama, Muhammad Sanusi berkata, beliau juga memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada jam 2 pagi Jumaat untuk melengkapkan siasatan atas laporan yang dibuat terhadapnya.

“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” katanya.

Dalam ucapannya yang tular sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkannya menghina institusi beraja di Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button