LUAR NEGARA

Kapal kontena Singapura tenggelam di Selat Hormuz, 21 kru selamat

DUBAI – Sebanyak 21 anak kapal terselamat selepas kapal kontena berbendera Singapura, GFS Pride, tenggelam akibat terkena projektil tidak dikenali ketika melalui Selat Hormuz, Selasa lalu.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) memaklumkan kapal itu mengalami kerosakan sebelum terbakar dan akhirnya tenggelam. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Dalam insiden berasingan pada Rabu, sebuah lagi kapal kontena berbendera Singapura, GFS Giselle, turut terkena projektil sehingga mengalami kerosakan pada badan kapal.

Bagaimanapun, kapal itu berjaya berlabuh di lokasi selamat dengan kesemua 22 anak kapalnya dilaporkan selamat.

Jabatan Hidrografi Pakistan mengeluarkan amaran navigasi kepada pelaut bahawa GFS Pride tenggelam kira-kira empat batu nautika di barat laut Ras al-Sheikh Masud, Semenanjung Musandam, Oman.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa sebuah kapal tenggelam selepas terkena periuk api laut ketika menggunakan laluan yang disifatkannya sebagai tidak dibenarkan di Selat Hormuz.

IRGC turut menyiarkan gambar yang menunjukkan sebuah kapal kontena masih terapung dalam keadaan condong di bahagian buritan, dengan asap hitam tebal menjulang ke udara.

Gambar lain memaparkan puluhan kontena bersama muatannya hanyut di permukaan laut.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menampung kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas dunia.

Bagaimanapun, pergerakan kapal di laluan itu terjejas teruk susulan konflik Iran, termasuk serangan peluru berpandu dan dron terhadap kapal komersial serta sekatan tentera laut AS terhadap pelabuhan Iran.

Serangan terhadap kapal dagang di Selat Hormuz dan beberapa kawasan lain di Asia Barat semakin meningkat sejak konflik membabitkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran tercetus pada Februari lalu.

Menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), sekurang-kurangnya 24 pelaut terbunuh dalam 106 insiden yang disahkan sepanjang tempoh berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button