Majlis penyempurnaan Hassan Abdul Hamid sebagai Undang Luak Rembau ke-22 akan berlangsung Sabtu ini
SERI MENANTI – Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang bagi bakal Undang Luak Rembau ke-22, Hassan Abdul Hamid akan diadakan di Istana Seri Menanti di sini Sabtu ini.
Menurut satu kenyataan oleh wakil-wakil adat Luak Rembau, perkenan tersebut diperoleh selepas Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau mengadap Tunku Besar Seri Menanti bagi memohon penetapan tarikh istiadat berkenaan.
“Dalam istiadat yang berlangsung sebentar tadi, pihak Adat Luak Rembau, iaitu kerabat buapak dan ibu soko, telah mengadakan kerapatan. Dalam kerapatan itu, sebanyak dua kali, Kampung Tanjung telah dipilih sebagai lubuk benih, iaitu kampung yang akan menzahirkan Undang Luak Rembau yang ke-22.
“Setelah pemilihan Kampung Tanjung sebagai lubuk benih itu diisytiharkan oleh buapak lapan kampung, Kampung Tanjung pula mengadakan kerapatan dalam sukunya sendiri,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam kerapatan yang diadakan oleh anak buah Kampung Tanjung itu, Kampung Tanjung melalui ibu soko dan warisnya, telah memilih Hassan sebagai Undang Luak Rembau yang baharu.
“Dalam istiadat tadi, kami telah memohon perkenan Duli Yang Amat Mulia Tuanku, melalui anakanda baginda Yang Amat Mulia Tunku Ali, untuk diadakan satu majlis menjunjung kasih.
“Pihak Tuanku telah memperkenankan majlis itu diadakan, insya-Allah, pada hari Sabtu ini di Istana Besar Seri Menanti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







