POLITIK

Kemelut NS: PN tidak letak syarat kerjasama dengan BN

IPOH – Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan sebarang syarat untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, pendirian itu selari dengan pendekatan PN yang mengutamakan kestabilan politik serta kebajikan rakyat khususnya dalam situasi semasa yang mencabar, lapor SH Online.

“Tak ada syarat apa-apa (kerjasama PN di Negeri Sembilan). Kita PAS ini jiwa besar. Di mana bila-bila masa sahaja PAS jiwa besar. Ketika UMNO lemas, 22 bulan, siapa yang hulurkan tangan? PAS.

“Kita tak pernah mengungkit cerita-cerita lama yang berlaku. Kita bersedia untuk bekerjasama demi kepentingan yang lebih besar,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat bersama pimpinan PAS Perak ke atas Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di Rumah Media Perak, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria; Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri dan Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Sayed Idris.

Idris seterusnya menjelaskan, keutamaan PN ketika ini adalah mengelakkan berlakunya pilihan raya mengejut yang boleh membebankan rakyat.

Katanya, selain itu PN juga mahu memastikan wujud kepimpinan negeri yang mampu menjamin kestabilan politik.

“Kita tak mahu ada ‘snap election’, rakyat pun susah.

“Kita nak kepimpinan yang boleh mewujudkan kestabilan di peringkat negeri,” jelas Ahli Majlis Tertinggi PN Pusat itu.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa PN tidak akan campur tangan dalam hal berkaitan adat atau urusan dalaman negeri, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat Negeri Sembilan.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama itu menjadi realiti memandangkan gabungan politik di peringkat Persekutuan berbeza, Idris berkata, perkara tersebut bergantung kepada kebijaksanaan wakil rakyat di negeri berkenaan.

Menurutnya, pihak PN di Negeri Sembilan termasuk wakil rakyat PAS dan BERSATU telah menunjukkan kesediaan untuk menyokong usaha tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button