POLITIK

Muhyiddin tidak dijemput hadiri mesyuarat PN?

CYBERJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak dijemput ke mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu gabungan tersebut.

Menurut sumber yang enggan dinamakan, Muhyiddin sepatutnya layak dijemput ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada 29 Januari itu walaupun beliau telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu.

“(Ini kerana) Muhyiddin masih presiden parti (komponen) dan sewajarnya hadir dalam mesyuarat itu.

“Sebagai presiden parti, Muhyiddin secara konvensyen merupakan timbalan pengerusi PN,” kata sumber yang merupakan seorang pemimpin PN.

Menurut surat yang dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, antara wakil BERSATU yang dijemput ke mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Pemimpin PN lain yang turut dijemput ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Dominic Lau (GERAKAN) dan P. Punithan (MIPP).

Abdul Hadi sebelum ini menuntut jawatan pengerusi PN bagi pihak partinya, namun dilaporkan menolak untuk memegang jawatan itu sendiri atas faktor kesihatan.

Antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Muhyiddin ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Menteri Besar Terengganu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button