Tekanan Ahli Parlimen PAS percepat keputusan Muhyiddin lepaskan jawatan Pengerusi PN
KUALA LUMPUR – Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa dipercepatkan susulan tekanan berterusan daripada beberapa Ahli Parlimen Pas.
Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Muhyiddin sebenarnya telah menyatakan hasrat untuk berundur, namun tekanan yang memuncak dalam kalangan pimpinan tertentu Pas mempercepatkan keputusan berkenaan.
Beliau mendedahkan perkara itu dalam satu hantaran panjang di Facebook yang memperincikan kronologi peristiwa bermula tengah malam 29 Disember lalu, menjelang pengumuman rasmi peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.
“Terdapat desakan daripada beberapa Ahli Parlimen Pas supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
“Beliau membalas secara ringkas bahawa beliau bersedia berundur pada bila-bila masa sekiranya diminta oleh Majlis Tertinggi PN,” memetik NST online.
Marzuki berkata, Muhyiddin pada awalnya berhasrat membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi PN selaras dengan peruntukan perlembagaan gabungan tersebut, memandangkan pelantikan serta peletakan jawatan pengerusi perlu diputuskan melalui majlis berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan itu dan mendesak agar Muhyiddin meletakkan jawatan serta-merta tanpa melalui proses rasmi.
“Tekanan demi tekanan dalam kumpulan WhatsApp Ahli Parlimen PN akhirnya mendorong beliau menyatakan kesediaan untuk berundur berkuat kuasa 1 Januari,” katanya lagi.
Marzuki turut mendakwa pengumuman peletakan jawatan Muhyiddin dibuat secara “terlalu awal” oleh Ketua Penerangan Pas, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pimpinan dan penyokong gabungan itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Muhyiddin untuk berundur wajar dihormati walaupun terdapat pihak yang mahu bekas Perdana Menteri itu terus menerajui PN.
“Mereka berhak menyuarakan harapan supaya beliau kekal, namun Muhyiddin juga mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri. Hak itu perlu dihormati,” katanya lagi.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 29 Disember lalu, susulan ketegangan yang dilaporkan antara Bersatu dan Pas, khususnya berkaitan isu politik di Perlis.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kekal sebagai Presiden Bersatu dan parti itu akan terus bersama PN.
Sehari selepas itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan kepimpinan PN akan diambil alih oleh wakil dari Pas, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju kepimpinan gabungan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







