BERITA SEMASA

Program GTG MARA buka ruang produk tempatan tembusi pasaran Korea Selatan

KUALA LUMPUR – Penyertaan usahawan dalam program Gate to Global (GTG) MARA berjaya membuka ruang bagi memperluaskan pasaran eksport produk tempatan ke Korea Selatan.

Menurut MARA, menerusi usaha itu satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai dengan rakan strategik Korea Selatan sempena Korea Import Expo (KIE) 2026.

“Sebanyak 10 syarikat di bawah program GTG MARA menyertai pameran tersebut, antaranya Jalen Sdn Bhd, Tokku Leko Sdn Bhd, Munif Hijjaz Marketing Sdn Bhd, Hijrah Nature Herbs (M) Sdn Bhd, Chocsvalley Chocolate Sdn Bhd, Najeehah International Sdn Bhd, Pisango Sdn Bhd, NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, Camaria Global Sdn Bhd dan Biofitrah (M) Sdn Bhd.

“Sepanjang pameran berlangsung, usahawan turut menyertai sesi padanan perniagaan yang membuka peluang untuk mengadakan pertemuan secara langsung dengan pengimport, pengedar dan pembeli berpotensi dari Korea Selatan serta negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, Hijrah Nature Herbs (M) Sdn Bhd bersama BCMJ Global Co Ltd serta Pisango Sdn Bhd bersama Jachin F&B Inc memeterai MoU yang dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama dan mengembangkan rangkaian pengedaran produk Malaysia di Korea Selatan.

Terdahulu berlangsung pertukaran MoU tersebut disaksikan oleh Timbalan Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Nazarudin Jaafar; Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Korea Selatan, Mohamad Termizi Piee; Pengarah MARA Terengganu, Mohd Farris Radzuan serta Pengarah MARA Korea Selatan, Mohd Zul Faisal Mohamed Zain.

Nazarudin turut mengadakan sesi walkabout ke reruai usahawan MARA bagi meninjau produk yang dipamerkan serta mendapatkan perkembangan penyertaan syarikat-syarikat GTG MARA sepanjang KIE 2026.

Sesi padanan perniagaan yang diadakan turut memberi peluang kepada usahawan mendapatkan maklum balas terus daripada pemain industri antarabangsa mengenai trend pasaran, cita rasa pengguna dan keperluan pematuhan bagi membolehkan produk mereka menembusi pasaran Korea Selatan dengan lebih berkesan.

Penyertaan dalam KIE 2026 itu membuktikan komitmen berterusan MARA dalam memperluaskan akses pasaran global bagi usahawan Bumiputera menerusi program GTG.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button