Isteri Nubhan akui dicerai kali pertama ketika hamil anak sulung
SEPANG – Isteri kepada penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad mengakui, perceraian kali pertama berlaku ketika dia hamil anak sulung pada tahun 2017.
Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berkata, Nubhan melafazkan talak ketika kandungannya berusia enam bulan.
Bagaimanapun, pasangan itu rujuk semula beberapa hari selepas kejadian tersebut.
Apabila ditanya mengapa tidak mendaftarkan cerai dan rujuk pada waktu itu, Afifah Hidayah memberitahu, urusan tersebut diserahkan kepada suaminya.
“Itu (patutnya diuruskan) Nubhan,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Rendah Syariah Sepang selepas selesai sebutan pertama prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk difailkan suaminya.
Selain itu, ketika diajukan persoalan sama ada Nubhan masih menjalankan tanggungjawab sebagai orang ayah kepada anak-anak, beliau enggan mengulas.
“No komen,” ujarnya ringkas.
Tambah beliau, mereka tidak bergaduh besar ketika lafaz talak berlaku di dalam kenderaan.
“Malam itu dia datang ambil di rumah. Makan malam dan berbual macam biasa, tetapi kemudian dalam perjalanan balik rumah, suami lafazkan cerai.
“Saya terkejut dan tak sangka akan berlaku lagi perceraian. Saya tak tahu kenapa, mungkin wujud salah faham,” katanya.

Dalam pada itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abd Kader yang mewakili Afifah Hidayah berkata, pihaknya telah memohon mahkamah mengesahkan dahulu lafaz cerai kali pertama yang berlaku lapan tahun lalu dan rujuk sebelum prosiding pengesahan talak kedua pada 26 Ogos itu disebut.
Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Nubhan mengejutkan ramai pihak apabila memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai pada 2 September lalu.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas setahun bertunang dikurniakan tiga cahaya mata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








