JENAYAH & MAHKAMAHSUKAN

Peguam nafi perceraian disebabkan masalah kewangan Faisal Halim

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya isteri pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim memfailkan perceraian kerana masalah kewangan dan keadaan fizikal suaminya dinafikan peguam mewakili pihak wanita itu.

Peguam, Roshdan Sujak Rafie menjelaskan punca perceraian antara Nur Syazwani Mizuana Shahril dan Faisal dipercayai kerana tiada lagi persefahaman, selain pasangan itu sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan lalu.

“Saya ada baca komen netizen yang kata anak guam saya fail cerai sebab Faisal tiada duit dan sudah tidak kacak, itu semua tidak benar.

“Saya dimaklumkan mereka sudah tiada persefahaman,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengulas keadaan anak guamnya, Roshdan berkata Nur Syazwani dalam keadaan baik dan sudah bersedia berdepan perhatian ramai memandangkan Faisal seorang figura sukan popular.

Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Klang semalam, peguam Faisal memaklumkan pemain Selangor FC itu pernah melafazkan cerai di luar mahkamah pada 15 Jun lalu sebelum merujuk kembali keesokan harinya.

Faisal Halim
Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

“Anak guam saya memfailkan permohonan cerai, cuma dalam prosiding semalam peguam Faisal memberitahu anak guamnya pernah melafazkan cerai dan rujuk sesama mereka.

“Maka, perlu ada pengesahan dan bicara terlebih dahulu untuk tentukan jumlah talak,” jelas Roshdan.

Beliau menambah, isu hak penjagaan anak tunggal mereka, Khalish Aryan belum dibincangkan kerana pengesahan lafaz talak luar mahkamah perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Sementara itu, peguam Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader turut mengesahkan perceraian pasangan berkenaan berpunca daripada ketiadaan persefahaman.

“Mereka tidak mendaftarkan cerai dan rujuk itu, jadi prosiding pengesahan lafaz talak luar mahkamah perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Untuk rekod, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button