Jabatan Peguam Negara teliti Laporan RCI Tabung Haji, tidak tolak tindakan pendakwaan
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti secara menyeluruh Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020, termasuk mempertimbangkan sama ada wujud pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
Dalam satu kenyataan, AGC menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mengelaskan semula dan mendedahkan laporan RCI tersebut kepada umum.
Menurut kenyataan itu, AGC memandang serius segala penemuan yang terkandung dalam laporan berkenaan, khususnya yang melibatkan aspek pengurusan, pelaburan serta dakwaan salah laku.
“Jabatan ini akan mengambil tindakan segera meneliti laporan berkenaan bagi memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif agar pertimbangan sewajarnya dapat dibuat bagi menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang serta berdasarkan bukti yang ada.
Menurut jabatan itu, sebarang keputusan untuk mendakwa, jika perlu, akan dibuat berasaskan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima di mahkamah, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan integriti proses siasatan serta menghakis keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan peranan Lembaga Tabung Haji di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















