Pengawal pengiring VIP didenda RM1,000 tumbuk pemandu e-hailing OKU
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas seorang pengawal pengiring kenamaan yang menumbuk seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU), Mei lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhammad menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh Muhammad Taufik Ismail, 32, mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.
“Saya mengaku,” kata tertuduh.
Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu, tertuduh boleh dipenjara selama 20 hari.
Tertuduh bagaimanapun, menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Taufik didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Ong Ing Keong, 47, di hadapan sebuah hotel mewah dekat sini pada pukul 11.40 pagi, 28 Mei lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Laporan media sebelum ini menyebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pegawai-pegawai terlibat berhubung anggota pengiring yang memukul seorang pemandu e-hailing di lobi sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut dilaporkan sebagai berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan perkembangan terkini yang diperolehi.
Tambah Razarudin, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan bahawa tiada pelaku terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan.
Terdahulu, pemandu e-hailing yang juga seorang lelaki OKU, telah membuat laporan polis kedua menyatakan perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








