BERITA SEMASALUAR NEGARA

Senegal ganda hukuman terhadap komuniti gay

DAKAR – Parlimen Senegal meluluskan rang undang-undang yang menggandakan hukuman maksimum terhadap pesalah hubungan sejenis sehingga 10 tahun penjara, dalam langkah yang dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan lebih tegas terhadap komuniti gay di negara itu.

Rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan sokongan besar di Perhimpunan Nasional Senegal pada Rabu dan kini menunggu perkenan Presiden Bassirou Diomaye Faye sebelum dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Melalui undang-undang baharu itu, ‘perlakuan yang menentang fitrah’ yang merujuk kepada hubungan sejenis boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, berbanding hukuman sebelumnya antara satu hingga lima tahun.

Selain itu, individu yang didapati mempromosikan atau membiayai hubungan sejenis turut berdepan hukuman penjara antara tiga hingga tujuh tahun.

Menurut laporan media tempatan, puluhan lelaki telah ditahan sejak Februari lalu di bawah undang-undang anti-LGBTQ negara itu, termasuk 12 lelaki yang ditahan polis, dua daripadanya merupakan selebriti tempatan.

Bagaimanapun, undang-undang baharu tersebut turut menetapkan hukuman kepada mana-mana individu yang menuduh orang lain melakukan kesalahan hubungan sejenis tanpa bukti.

Rang undang-undang tersebut diluluskan selepas beberapa jam perbahasan dengan keputusan 135 ahli Parlimen menyokong, tiada yang menentang dan tiga berkecuali.

Semasa perbahasan berlangsung, seorang ahli Parlimen, Diaraye Ba, berkata dari podium bahawa: “Homoseksual tidak lagi akan bernafas di negara ini. Homoseksual tidak lagi akan mempunyai kebebasan bersuara di negara ini,” yang disambut dengan tepukan sebahagian ahli Parlimen.

Di bawah undang-undang itu juga, hukuman maksimum akan dikenakan jika kesalahan dilakukan melibatkan kanak-kanak, selain pesalah boleh dikenakan denda antara dua juta hingga 10 juta franc CFA.

Isu LGBTQ sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering mencetuskan kontroversi di Senegal, sebuah negara Afrika Barat majoriti Muslim, di mana aktivisme hak gay sering dikritik sebagai usaha Barat untuk mempertahankan nilai luar.

Beberapa pertubuhan agama sebelum ini turut mengadakan demonstrasi bagi menuntut hukuman lebih berat terhadap hubungan sejenis.

Perdana Menteri Ousmane Sonko, yang sebelum ini berjanji akan menjadikan hubungan sejenis sebagai jenayah lebih serius, turut membentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen.

Namun, pembangkang mendakwa kerajaan gagal menunaikan janji sepenuhnya kerana kesalahan itu masih diklasifikasikan sebagai kesalahan ringan (misdemeanour).

Sekurang-kurangnya 32 daripada 54 negara di Afrika masih mempunyai undang-undang yang melarang hubungan sejenis dengan beberapa negara seperti Uganda, Mauritania dan Somalia mengenakan hukuman mati terhadap kesalahan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button