Kapal pengangkut pesawat AS tiba di Phuket
BANGKOK – Kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear kelas Nimitz milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS George H.W. Bush, tiba di Phuket bersama sebuah kapal pemusnah bagi lawatan berjadual yang dijangka memperkukuh hubungan pertahanan AS-Thailand.
Kedutaan AS di Thailand dalam kenyataan semalam memaklumkan, USS George H.W. Bush yang merupakan kapal utama Kumpulan Tempur Kapal Pengangkut Pesawat 10, tiba bersama kapal pemusnah kelas Arleigh Burke, USS Delbert D. Black.
“Phuket akan menjadi pelabuhan persinggahan pertama bagi Kumpulan Tempur Kapal Pengangkut Pesawat George H.W. Bush (GHWBCSG) sejak berlepas dari Norfolk, Virginia dan Mayport, Florida pada Mac untuk penugasan,” menurut kenyataan itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut kedutaan itu, sepanjang enam bulan lalu, kumpulan tempur berkenaan memberikan sokongan kepada Operasi Epic Fury selain menyertai sekatan laut di kawasan tanggungjawab Pemerintah Pusat AS di Asia Barat.
Kedutaan AS berkata, Thailand merupakan rakan kongsi tertua Washington di Asia serta satu-satunya sekutu perjanjian AS di tanah besar Asia Tenggara.
“Hubungan AS-Thailand, khususnya dalam bidang maritim, memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan melalui kekuatan di rantau Indo-Pasifik,” menurut kenyataan itu lagi, memetik laporan Bernama.
Hubungan pertahanan kedua-dua negara turut diperkukuh menerusi latihan ketenteraan bersama secara dua hala dan pelbagai hala, termasuk latihan Cobra Gold, selain lawatan kapal Tentera Laut AS ke pelabuhan Thailand.
Sepanjang lawatan yang dijadualkan berlangsung sehingga 9 Oktober itu, kepimpinan kumpulan tempur berkenaan akan mengadakan pertemuan dengan pegawai awam dan tentera Thailand.
Pertemuan itu antara lain bertujuan menekankan kepentingan hubungan dua hala serta kerjasama pertahanan dan maritim antara Washington dengan Bangkok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


