BERITA SEMASALUAR NEGARA

Percutian bertukar tragedi: Pelancong Malaysia maut jatuh dari hotel

PHUKET — Seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di pulau peranginan terkenal di Wilayah Phuket, Thailand, awal pagi semalam.

Menurut kenyataan rasmi Polis Thailand, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar pukul 1 pagi Jumaat (waktu tempatan) daripada petugas hotel yang memaklumkan bahawa seorang pelancong terjatuh dari bangunan penginapan.

Mangsa, yang berasal dari Selangor, dilaporkan tiba di Thailand pada 8 Mei bersama kumpulan pelancong yang terdiri daripada lebih 20 rakyat Malaysia.

Difahamkan, mangsa berkongsi bilik hotel bersama tiga rakan lain.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi ketika menerima rawatan di sebuah hospital di daerah Patong akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Konsulat Malaysia di Songkhla mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan urusan membawa pulang jenazah telah diselaraskan bersama keluarga mangsa.

“Jenazah telah dituntut oleh waris pada pagi Sabtu dan dihantar pulang ke Malaysia melalui jalan darat dari Patong ke Sadao, sebelum melintasi sempadan di Bukit Kayu Hitam,” menurut pihak Konsulat Malaysia.

Tambahnya lagi, pihak konsulat turut membantu dalam pengurusan permit pengebumian bagi membolehkan jenazah dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sungai Buloh untuk urusan selanjutnya.

Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button