BERITA SEMASAPMX

Malaysia, Thailand sepakat tubuh pasukan petugas tingkatkan kerjasama dua hala

Bidang dikenal pasti termasuk pertanian, pelancongan, keselamatan, perdagangan dan perniagaan

PUTRAJAYA – Malaysia dan Thailand sepakat untuk menubuhkan pasukan petugas bagi meningkatkan kerjasama dua hala berkaitan pertanian, pelancongan, keselamatan, perdagangan dan perniagaan, termasuk sektor halal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin mempunyai tempoh sebulan untuk mengemukakan laporan mengenai keberhasilan penubuhan pasukan petugas itu.

“(Kami bersetuju) menubuhkan beberapa pasukan petugas dan kerja-kerja mengenainya mesti diselesaikan dalam masa sebulan.

“Tempoh sebulan untuk sektor pertanian, pelancongan dan keselamatan, perdagangan dan perniagaan, termasuk sektor halal. Semoga dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan, saling melengkapi sebagai jiran, serta mendapat manfaat yang besar daripada pengalaman kedua-dua negara.

“Semoga dalam sebulan, kita akan bertemu selepas laporan diserahkan kepada saya dan PM Srettha. Kita ada banyak mesyuarat pelbagai hala, satu daripadanya mesyuarat (yang akan datang) di Riyadh, Arab Saudi iaitu Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) dan sidang kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun pada pertengahan Disember di Tokyo,” kata Anwar, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama Srettha di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau dan Srettha akan mengadakan perbincangan mengenai laporan yang diterima untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan penubuhan pasukan petugas itu.

Pada mesyuarat dengan rakan sejawatannya itu, Anwar turut menyentuh mengenai rancangan Proton-Geely untuk menubuhkan sebuah kilang di Thailand dan percaya langkah itu akan memberi manfaat kepada syarikat berkenaan berikutan kemajuan dan pengalaman luas Thailand dalam industri automotif.

“Saya meminta mereka (Proton-Geely) berbincang dengan Srettha dan beliau mengambil pendekatan terbuka untuk menyokong,” kata Anwar.

Srettha berada di Malaysia dalam rangka lawatan sulung ke negara ini selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri pada 5 Sept lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button