BERITA SEMASA

Pasar raya mini pasang bendera Johor terbalik diarah tutup 30 hari

Tindakan selaras UUK Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan (MDP) 2019

PONTIAN – Sebuah premis pasar raya mini di Pekan Nanas di sini yang didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik diarahkan tutup selama 30 hari.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan bermula semalam telah diserahkan kepada premis berkenaan.

Jelas beliau, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan (MDP) 2019, iaitu berhubung pengibaran bendera.

“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil.

“Pemilik premis bagaimanapun masih boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn,” katanya, hari ini.

Abdul Azim kemudian menegaskan, kesemua individu dan pemilik perniagaan hendaklah memastikan bendera dipasang dengan betul.

“Jalur Gemilang dan bendera Johor adalah lambang serta tanda penghormatan kepada kedaulatan negara dan negeri.

“Pemilik premis perniagaan khasnya jangan membiarkan pekerja mereka memasang bendera tanpa dipantau dan disemak. Pemilik premis perniagaan perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh pekerja mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nenas, Tan Eng Meng berkata, satu pasukan pemantau khas telah ditubuhkan bagi memastikan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor di kawasan itu dilakukan dengan betul sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Jelas beliau, pasukan tersebut melibatkan Ahli Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), ketua kampung serta ketua masyarakat yang akan turun padang memantau premis perniagaan dan rumah kediaman.

“Sekiranya terdapat kesilapan dalam pemasangan bendera, pasukan berkenaan akan terus membantu serta membetulkannya.

“Kita berharap insiden melibatkan pemasangan bendera secara terbalik tidak berulang dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button