JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita mengamuk pecahkan cermin kereta sambil pegang pisau

KULIM – Seorang wanita yang dipercayai mempunyai masalah mental mengamuk sambil memegang sebilah pisau sebelum memecahkan cermin belakang dan lampu sebuah kereta di Taman Kemuning, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10.30 malam daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah kilang.

Menurut beliau, ketika kejadian, mangsa berada di sebuah gerai burger di Taman Kemuning sebelum didatangi wanita berkenaan yang tidak dikenalinya.

“Suspek kemudian memecahkan cermin dan lampu belakang kereta milik pengadu menggunakan objek yang dibawanya.

“Terdapat saksi awam yang berada di tempat kejadian dan melihat kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu turut dirakam menggunakan telefon bimbit oleh orang awam sebelum video berkenaan tersebar di media sosial.

Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang tiba di lokasi kemudian menahan wanita terbabit.

“Siasatan mendapati suspek berusia 33 tahun itu merupakan pesakit mental yang pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Kulim sejak 2012 hingga kini.

“Suspek juga mempunyai kad pesakit mental,” katanya.

Kes disiasat dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button