Perompak bersenjata pisau dicekup beberapa jam selepas lakukan dua rompakan di Tanjung Kupang
ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki bersenjatakan pisau yang disyaki terlibat dalam dua kes rompakan bersenjata di Tanjung Kupang pada 20 Oktober lalu berjaya diberkas polis hanya beberapa jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sekitar tengah malam hari yang sama selepas pihak polis menyerbu sebuah premis di kawasan Tanjung Kupang hasil risikan dan maklumat awam.
Dalam serbuan itu, polis menemui beberapa barangan curi termasuk empat telefon bimbit, sejumlah wang tunai RM268, kad bank asing, beberapa beg, serta sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam rompakan.
“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman sembilan hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 dan 394 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 10 pagi, suspek dikatakan mengacukan pisau ke arah pekerja kedai serbaneka berusia 25 tahun di Tanjung Kupang sebelum melarikan wang tunai RM285 daripada kaunter.
Suspek kemudian bertindak lebih ganas apabila menyerang seorang wanita berusia 55 tahun di rumahnya kira-kira jam 7.20 malam pada hari sama.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, selepas ditemukan suaminya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki berumur antara 20 hingga 34 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal dan pecah rumah sekitar Kangkar Pulai, Gelang Patah dan Tanjung Kupang.
Ketiga-tiga suspek ditahan pada 19 Oktober lalu hasil serbuan yang membawa kepada penemuan motosikal curi, komponen yang dileraikan serta barangan berharga bernilai kira-kira RM5,000.
“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya lagi.
Dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan dua kes curi motosikal dan satu kes pecah rumah di daerah berkenaan.
Dua daripada suspek telah didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada 24 Oktober dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda RM4,000 setiap seorang, atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















