Dua mayat lelaki termasuk satu reput ditemui di Ayer Tawar
MANJUNG – Dua mayat lelaki termasuk satu yang sudah mereput ditemukan di dua lokasi berasingan sekitar Ayer Tawar, di sini, hari ini selepas kedua-duanya dilaporkan hilang sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kehilangan individu berkenaan semalam, masing-masing dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 27 Jun dan 9 Julai.
Menurut beliau, mayat sudah mereput yang ditemukan pukul 8.30 pagi tadi di sebuah rumah kosong di Taman Biru, Ayer Tawar hasil maklumat orang awam dipercayai lelaki yang dilaporkan hilang sejak 27 Jun lalu.
“Seorang lagi mangsa pula ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Taman Sri Perak 2, Ayer Tawar, kira-kira pukul 9.39 pagi.
“Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kedua-dua kes berkenaan dan tidak menolak sebarang kemungkinan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Balai Polis Ayer Tawar di talian 05-6722222, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di 05-6886222 atau menerusi WhatsApp Hotline 017-6828005 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








