BERITA SEMASA

2 maut kereta terbabas rempuh tiang elektrik

MARAN – Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Besar Felda Jengka 12 di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Maran,Asistan Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari Jengka 13 menuju ke Bandar Pusat Jengka.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Akibatnya, kereta itu merempuh tiang elektrik dan menyebabkan pemandu serta penumpang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamad Arif Danial Ramli, 23, dari Felda Jengka 22 dan rakannya, Mohamad Ali Mohamed Saat, 31, dari Felda Jengka 11.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, polis meminta mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button