HIBURAN

Kahf mohon maaf, mahu pulihkan kepercayaan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Jenama penjagaan diri lelaki popular dari Indonesia, Kahf, mengambil tanggungjawab atas kontroversi yang tercetus susulan satu hantaran di media sosial yang mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna, khususnya dari Malaysia.

Kahf menerusi kenyataan di Threads mengakui kandungan yang dimuat naik itu tidak sepatutnya diterbitkan kerana bercanggah dengan nilai serta prinsip yang dibawa oleh jenama berkenaan.

“Satu hantaran yang diterbitkan di akaun kami adalah tidak boleh diterima. Hantaran tersebut tidak mencerminkan nilai serta rasa hormat yang kami junjung sebagai sebuah jenama.

“Kami telah memadam hantaran berkenaan dan berjanji untuk melakukan yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.

Pihak Kahf turut menyampaikan permohonan maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan hantaran berkenaan selain menghargai teguran yang diterima daripada pengguna media sosial.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala kekecewaan yang telah ditimbulkan. Terima kasih kerana menegur dan meminta kami bertanggungjawab atas kesilapan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Kahf menegaskan hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia perlu terus dipelihara atas dasar persaudaraan serta sikap saling menghormati.

“Hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia sentiasa berteraskan semangat persaudaraan dan saling menghormati.

“Kami komited untuk mengekalkan rasa hormat yang sama terhadap semua negara dan budaya. Kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan kami dalam memenuhi komitmen tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kahf berkata pihaknya menyedari bahawa usaha mengembalikan keyakinan orang ramai memerlukan lebih daripada sekadar permohonan maaf dan ia perlu dibuktikan melalui tindakan.

“Kami memahami bahawa untuk membina semula kepercayaan, permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi. Kami komited untuk mendapatkannya kembali melalui tindakan kami,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas akaun rasmi Kahf di Threads berkongsi satu gambar memaparkan pita amaran dengan tulisan ‘Hati-Hati Beda Level’.

Dalam grafik tersebut, bendera Indonesia diletakkan di bahagian atas garisan amaran, manakala beberapa bendera negara Asia Tenggara dan Australia dipaparkan di bahagian bawah, termasuk Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura, Laos, Myanmar dan Timor Leste.

Hantaran itu turut disertakan kapsyen, “Tutor cara masup Eropa dong warga”.

Kandungan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan keputusan kejohanan bola sepak yang membabitkan Indonesia serta negara jiran. Namun, penggunaan grafik yang meletakkan negara lain pada kedudukan lebih rendah mengundang pelbagai reaksi negatif daripada pengguna media sosial.

Di Malaysia, hantaran berkenaan menerima kritikan daripada netizen yang menyifatkan kandungan tersebut tidak wajar, khususnya kerana Kahf turut mempunyai peminat dan pelanggan di rantau ini.

Hantaran berkenaan kemudiannya dipadam oleh Kahf sebelum jenama itu tampil memberikan penjelasan serta memohon maaf secara terbuka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button