JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ kesan rakyat Malaysia sewa lebih 100 motosikal kepada warga asing

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan trend membimbangkan apabila terdapat rakyat Malaysia menyewakan motosikal kepada warga asing dengan kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya turut mengesan peningkatan penggunaan motosikal roda tiga yang disewa kepada warga asing, terutama di Pantai Timur bagi tujuan mengutip bahan kitar semula dan barangan terbuang.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan apabila ada motosikal digunakan untuk membawa muatan berlebihan sehingga menghalang penglihatan pengguna jalan raya lain serta berpotensi menyebabkan kemalangan.

“Kita mengenal pasti trend baharu membabitkan rakyat Malaysia menyewakan motosikal kepada warga asing dengan kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan bergantung kepada jenis dan keadaan motosikal.

“Sebahagian motosikal ini digunakan untuk membawa muatan sehingga menghalang penglihatan kenderaan lain dan boleh menyebabkan kemalangan,” memetik BH online.

Beliau berkata, motosikal roda tiga paling banyak dikesan di Pantai Timur dan kebanyakannya digunakan oleh komuniti Rohingya untuk aktiviti pengumpulan bahan kitar semula.

Muhammad Kifli berkata, JPJ turut mengesan seorang pemilik yang menyewakan lebih 100 motosikal kepada warga asing, dengan setiap motosikal menjana kira-kira RM100 sebulan.

“Kita menganggap pemilik seperti ini sebagai pihak yang bersubahat dengan pemandu warga asing dan tindakan boleh diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 26(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Beliau berkata, JPJ kini mengambil pendekatan lebih tegas sejak Julai lalu dengan membawa pemandu warga asing dan pemilik kenderaan ke mahkamah berbanding hanya menawarkan kompaun bagi kesalahan berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button