BERITA SEMASA

Lesen boleh digantung jika enggan berhenti di lintasan zebra – JPJ

JOHOR BAHRU – Sikap segelintir pemandu yang ingkar memberi laluan di lintasan pejalan kaki boleh membawa padah apabila mereka berdepan tindakan tegas termasuk penggantungan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, pihaknya mempunyai kuasa memanggil pemandu terlibat untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pemandu yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM300, manakala kes yang dibawa ke mahkamah boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

“Pemandu perlu mematuhi lampu isyarat dan memberi laluan kepada pejalan kaki, khususnya di kawasan sekolah,” memetik NST online.

Beliau berkata, kesalahan tersebut turut direkodkan di bawah Sistem KEJARA yang mengumpul mata demerit bagi setiap pelanggaran undang-undang jalan raya.

“Pemandu yang mengumpul 20 mata demerit berisiko berdepan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya terus melakukan kesalahan,” katanya lagi.

Amaran itu susulan beberapa insiden tular melibatkan pemandu yang cuai di lintasan pejalan kaki, termasuk kejadian seorang murid hampir cedera selepas dilanggar kenderaan di Taman Universiti pada 31 Mac lalu.

Dalam satu lagi kejadian, seorang pemandu turut dikesan memandu laju ketika menghampiri lintasan pejalan kaki, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang awam terhadap tahap keselamatan di kawasan sekolah.

Sehubungan itu, JPJ menggesa pemandu supaya lebih bertanggungjawab dan mengutamakan keselamatan pejalan kaki bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button