GEORGE TOWN – Seorang wanita berusia 37 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta di parkir stesen minyak di Paya Terubong di sini semalam, disahkan meninggal dunia akibat radang paru-paru atau pneumonia.
Laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat jangkitan paru-paru.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Punca kematian wanita itu disebabkan ‘pneumonia’ atau radang paru-paru dan siasatan polis menunjukkan tiada unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan laporan mati mengejut telah dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Polis menemukan mayat seorang wanita berusia 37 tahun di dalam sebuah kereta di stesen minyak Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam.
Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.55 malam semalam sebelum bergegas ke lokasi.
Siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Paya Terubong ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan.
“Pintu kereta dikunci dari dalam dan pihak polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membuka kenderaan tersebut.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penemuan seorang wanita dalam sebuah kereta yang dipenuhi pelbagai barangan sehingga menutupi sebahagian ruang dalaman kenderaan itu di kawasan parkir stesen minyak berkenaan.
SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK