Ibu rayu anak pulang, hilang lebih sebulan selepas keluar cari durian
GEORGE TOWN – Seorang warga emas merayu anak lelakinya pulang ke pangkuan keluarga selepas dilaporkan hilang tanpa khabar berita sejak lebih sebulan lalu.
Salmah Shamsudin, 72, berkata, anaknya, Shahir Zainum, 46, keluar dari rumah di Bukit Gedung, Bayan Baru pada pukul 5 pagi, 10 Jun lalu dengan alasan mahu mencari durian di sebuah dusun di Relau.
Menurutnya, sejak keluar rumah pada hari berkenaan, Shahir tidak pulang dan gagal dihubungi menyebabkan dua anaknya yang berusia 13 dan 15 tahun terlalu merindui bapa mereka.
“Laporan polis dibuat dua hari selepas kehilangannya. Ketika keluar rumah, dia tidak membawa telefon bimbit dan kali terakhir memakai kemeja-T merah bercorak jalur kelabu.
“Sebelum menghilangkan diri, saya nampak dia hanya duduk termenung di dapur. Dia tidak pernah mengadu mempunyai sebarang masalah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Salmah berkata, usaha mencari Shahir turut dilakukan oleh ahli keluarga, termasuk di dusun durian yang dikatakan ingin dikunjunginya.
“Anaknya pergi mencari di dusun itu, tetapi hanya menemui motosikal yang ditinggalkan,” katanya.
Menurutnya, kehilangan Shahir memberi kesan besar kepada keluarga, terutama dua anak lelaki mangsa.
“Anak bongsunya selalu menangis sehingga tidak mahu ke sekolah kerana terlalu merindui ayahnya.
“Saya sudah tidak tahu hendak mencari di mana lagi. Jika Shahir terbaca berita ini, mak rayu baliklah. Anak-anak menunggu kepulangan ayah mereka setiap hari,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




