BERITA SEMASA

Lelaki hilang ketika daki di Bukit Hill Top ditemui selamat

BATU KAWAN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki dan berjoging sendirian di Bukit Hill Top di sini sejak lima hari lalu ditemui selamat, namun dalam keadaan lemah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, lelaki tersebut Muhammad Azfar Ismail, 28, ditemui oleh orang awam berhampiran jeti nelayan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan pada pukul 2.36 petang, hari ini.

“Mangsa diberikan bantuan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pada Sabtu lalu Muhammad Azfar dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mendaki dan berjoging sendirian di Bukit Hill Top Batu Kawan.

Katanya, dilaporkan lelaki tersebut keluar dari rumahnya sekitar pukul 5 petang, kemudian kehilangannya disedari oleh abangnya yang melaporkan kepada polis pada pukul 11.59 malam.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Khas Unit STORM & MUST, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM).

Penemuan Muhammad Azfar membawa kelegaan kepada keluarganya dan semua pihak yang terlibat dalam operasi penyelamatan, menamatkan lima hari pencarian yang intensif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button