“Nak bahas tentang saya atau Tabung Haji?” – PM bidas pembangkang tinggalkan sidang khas Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang yang bertindak meninggalkan sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat pagi ini.
Perdana Menteri berkata, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah dakwaan mengenai pengkhianatan terhadap kepentingan pendeposit Tabung Haji, khususnya umat Islam yang bergantung kepada institusi itu bagi mengurus simpanan untuk menunaikan ibadah haji.
“Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, umat Islam, khususnya orang Melayu, tidak seharusnya dibiarkan menjadi mangsa kepada permainan politik ketika isu berkaitan kepentingan dan amanah Tabung Haji masih menjadi perhatian.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS sebagai antara parti teras gabungan berkenaan, dalam memperjuangkan kepentingan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang bergantung kepada Tabung Haji.
“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” soalnya.
Beliau berkata, isu Tabung Haji sewajarnya dibahaskan secara serius dan berfokus demi memastikan kepentingan serta hak pendeposit terus dilindungi, tanpa dipengaruhi kepentingan politik kepartian.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya meletakkan kepentingan pendeposit dan masa depan institusi Tabung Haji sebagai keutamaan, khususnya dalam memastikan amanah yang diberikan oleh umat Islam terus dipelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








