PMX

Lebih 75 peratus syor RCI Tabung Haji telah dilaksanakan – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Pembaharuan yang dilaksanakan sejak 2018 terus memperkukuh kedudukan Lembaga Tabung Haji (TH) apabila lebih 75 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu kini telah dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, TH turut memberi komitmen untuk menyelesaikan baki syor relevan yang kini dalam pelaksanaan.

Katanya, antara pembaharuan utama yang telah dilaksanakan ialah memperkukuh struktur kepimpinan dan tadbir urus TH selaras dengan syor RCI.

“Alhamdulillah, TH telah melaksanakan pelantikan kepimpinan termasuk ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan berdasarkan integriti, kebolehan serta pengalaman, mengikut kriteria ‘fit and proper’ (layak dan sesuai) yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia.

“Kita mempunyai ramai teknokrat dan tokoh yang berwibawa, kompeten, beramanah serta berintegriti untuk menerajui TH.

“Buktinya, TH kini berada dalam keadaan yang sangat baik dari sudut pengurusan haji, pelaburan, kewangan dan secara keseluruhannya,” katanya dalam Sidang Khas mengenai Laporan RCI TH di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, langkah berkenaan selaras dengan syor RCI supaya pembaharuan menyeluruh dibuat terhadap Akta Tabung Haji, termasuk menetapkan kriteria khusus kelayakan dan kaedah pemilihan anggota Lembaga berdasarkan kepakaran.

Dalam aspek kewangan pula, TH sejak 2022 melaksanakan pengumuman kadar Agihan Keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang diaudit, manakala piawaian perakaunan diguna pakai sepenuhnya sejak 2018.

Kerajaan juga sedang meneliti pindaan Akta Tabung Haji termasuk memperjelas piawaian perakaunan serta memasukkan penalti terhadap salah lapor penyata kewangan bagi mengelakkan kelemahan sama berulang.

Dr Zulkifli berkata, reformasi yang dilaksanakan sejak 2018 membantu memulihkan kedudukan kewangan TH, memperkukuh rizab serta meningkatkan kualiti pelaburan dan tadbir urus institusi itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button