BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

KPT perkenal enam langkah tangani buli di universiti awam

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan enam langkah komprehensif bagi membanteras gejala buli selain memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan pelajar di universiti awam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu merangkumi penerapan budaya Zero Tolerance terhadap buli, penyediaan mekanisme pelaporan kes dan pemasangan CCTV secara meluas.

Selain itu, KPT juga akan menganjurkan program kesedaran, pembinaan sahsiah dan kepimpinan pelajar serta pembangunan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan pengurusan salah laku.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan di institusi pengajian tinggi.

“Pelaku tidak akan dilindungi dan KPT akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara telus dan profesional,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memaklumkan, dari 2014 hingga 2025, sebanyak 31 kes buli dilaporkan di lapan universiti awam, membabitkan insiden fizikal dan siber.

Katanya, antara faktor penyumbang termasuk pengaruh media sosial, persekitaran kampus, masalah psikologi, faktor sosial dan kurang pengawasan ibu bapa.

Bagi pelajar universiti awam, tindakan tatatertib boleh diambil di bawah Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar (Pindaan 2024), antaranya amaran, khidmat masyarakat, denda sehingga RM500, larangan memasuki kampus, buang asrama, penggantungan atau pembuangan dari universiti.

Bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 (Akta 555) menetapkan tanggungjawab Ketua Eksekutif memastikan kebajikan dan disiplin pelajar termasuk mencegah serta mengendalikan kes buli.

KPT menegaskan pihaknya akan terus mengkaji dasar dan prosedur sedia ada bagi memastikan isu disiplin, khususnya gejala buli, dapat ditangani secara berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button