Nasi lauk ayam RM50, air cecah RM15 di GP Bahrain cetus rungutan
SEPANG – RM50 bagi sebungkus nasi berlaukkan ayam, manakala segelas air pula boleh mencecah RM15.
Itulah harga yang didakwa perlu dibayar pengunjung Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), seperti yang tular di media sosial.
Selain nasi berlauk ayam, harga makanan dan minuman lain yang turut dikongsikan netizen ialah burger RM25, mangga asam boi RM30, milo ais RM25, air buah RM25, nugget dan keropok lekor masing-masing RM25.
Perkongsian harga makanan berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menyifatkannya terlalu tinggi, terutama bagi pengunjung yang hadir bersama keluarga.
“Teh Ais dan Burger F1. Berapakah agak-agak harga 3 biji burger dan teh ais tersebut?
“Bukan komplen tau, memang harga dia sepadan dengan harga tiket nak masuk dalam ni,” kata mynameiskhairul di Threads.
Dalam satu lagi hantaran yang dimuat naik oleh akaun kualifoodie di platform sama menunjukkan senarai harga;
Nasi Ayam Kunyit RM50
Mangga Asam Boi RM30
Milo Ais RM25
Air Buah RM25
Nugget/Kopok Lekor RM25
“Menangis tengok harga makanan acara Formula 1 Sepang,” katanya.
Sementara itu, isu berkenaan turut membawa kepada pendedahan kadar sewaan tapak yang dikenakan kepada peniaga sepanjang berlangsungnya acara berkenaan oleh seorang pengguna.
Berdasarkan kadar yang didedahkan cool.acap, harga sewa tapak perniagaan sepanjang penganjuran itu bermula serendah RM6,250 sehingga RM29,975.
Kiosk kekal berukuran 11 meter x 6 meter misalnya dikenakan bayaran RM29,975 dengan komisen sebanyak 15 peratus daripada jumlah jualan.
Bagi kiosk berukuran tiga meter x dua meter pula, kadar sewaan ditetapkan RM7,425.
Peniaga di kawasan Mall Area yang menyediakan trak makanan sendiri dikenakan RM24,750, manakala tapak K1 Grandstand berharga RM25,300, masing-masing bersama komisen 15 peratus daripada jumlah jualan.
Sementara itu, kadar bagi F Grandstand ialah RM13,750, K2/B Hillstand RM6,875, manakala C Hillstand dan G Hillstand masing-masing RM6,250, selain komisen 15 peratus daripada jumlah jualan.
Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang berlangsung selama tiga hari dari 2 hingga 4 Oktober 2026, selepas Malaysia dipilih sebagai lokasi pengganti bagi perlumbaan Bahrain yang tidak dapat berlangsung susulan konflik di Asia Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




