AGAMABERITA SEMASA

Konon hadir kursus, pegawai kerajaan ditahan bersama janda

BATU PAHAT – Seorang pegawai kerajaan yang mendakwa menghadiri kursus di Batu Pahat bagi menutup perbuatannya membawa seorang janda ke hotel terbongkar selepas ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), tengah malam semalam.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 12.00 malam oleh sepasukan penguat kuasa JAINJ selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di sebuah bilik hotel di daerah ini.

Menurut JAINJ, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia lingkungan 50-an itu sudah beristeri dan mempunyai anak, manakala wanita terbabit berusia 30-an bekerja di sebuah syarikat swasta.

“Pasangan itu dipercayai datang dari sebuah negeri lain yang jaraknya lebih 100 kilometer sempena cuti hujung minggu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Siasatan awal mendapati lelaki tersebut memaklumkan kepada isterinya bahawa dia menghadiri kursus di Batu Pahat, namun sebenarnya bertemu dengan wanita berkenaan yang dipercayai telah lama menjalin hubungan dengannya tanpa pengetahuan isteri.

JAINJ berkata, kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 (berkhalwat) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, JAINJ menasihatkan umat Islam supaya menjaga maruah diri serta tidak terjebak dalam perbuatan maksiat yang boleh menjejaskan imej dan kehormatan keluarga.

“JAINJ akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap individu Islam mematuhi hukum syarak dan undang-undang negeri,” katanya lagi.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berhubung sebarang kesalahan jenayah syariah kepada Bahagian Penguatkuasaan JAINJ untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button