BERITA SEMASA

Johor cadang operasi bas Singapura bermula seawal 4.30 pagi

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mencadangkan syarikat pengendali bas ke Singapura yang beroperasi di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) memulakan perkhidmatan seawal pukul 4.30 pagi, setengah jam lebih awal berbanding jadual sedia ada antara pukul 5 pagi hingga 5.30 pagi setiap hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, cadangan tersebut turut melibatkan penambahan kekerapan perjalanan berikutan peningkatan jumlah penumpang yang konsisten setiap bulan.

“Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), purata pertambahan penumpang bas di BSI adalah antara 1,000 hingga 3,000 orang setiap bulan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Namun begitu, katanya, pelaksanaan cadangan tersebut perlu diperhalusi oleh pihak Land Transport Authority (LTA) Singapura memandangkan operasi Transit Aliran Massa (MRT) di republik itu hanya bermula pada pukul 5.35 pagi.

“Cadangan penambahan trip pula memerlukan perbincangan lanjut antara LTA dan operator bas berkaitan kerana ia melibatkan kos serta pengurusan operasi masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu, Mohamad Fazli mengadakan lawatan selama dua jam bermula pukul 4 pagi ke BSI bersama wakil LTA Singapura dan beberapa operator bas awam bagi memantau operasi kaunter dan aliran penumpang, selain meninjau keadaan barisan panjang pengguna yang menunggu bas ke Singapura.

Antara pengendali yang terlibat ialah Handal Indah Sdn Bhd, SBS Transit Ltd, SMRT Buses Ltd, Ridewell Travel Pte Ltd, The Singapore-Johore Expressway (Private) Ltd dan Transtar Travel & Tours Pte Ltd.

“LTA memaklumkan kepada saya isu ini akan dibincangkan dan dijangka diputuskan dalam masa terdekat. Bagi pihak Handal Indah pula, mereka telah menyediakan perkhidmatan bas 24 jam sehari dengan kekerapan setiap 30 minit pada waktu bukan puncak dan hampir 150 perjalanan pada waktu puncak,” katanya.

Beliau berharap usaha tersebut dapat dimuktamadkan demi keselesaan dan kesejahteraan pengguna harian di kedua-dua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button