JENAYAH & MAHKAMAH

Kami diugut dengan suntikan AIDS – Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan ahli keluarganya diugut akan disuntik dengan virus AIDS (HIV) susulan kejadian serangan melibatkan anaknya di sebuah pusat beli belah di Putrajaya, semalam.

Beliau mendakwa, dalam mesej yang dikirim ke nombor telefon isterinya pada pukul 1.12 pagi tadi itu, pengirim membuat ugutan supaya terus berhenti daripada bersuara (mendedahkan sesuatu) sekiranya tidak mahu ahli keluarganya disuntik virus berkenaan.

“Mesej itu berbunyi ‘diam, jika teruskan, Aids’,” kata Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dalam satu sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Rafizi berkata, isterinya kemudian menerima satu lagi mesej dengan kandungan yang sama ditambah dengan beberapa ikon picagari.

“Mesej yang sama, diam andai teruskan AIDS. Kemudian emoji syringe, syringe, syringe (picagari). Dan daripada nombor yang samalah,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan anak Rafizi diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada pukul 1.45 petang, semalam.

Rafizi semalam memaklumkan, kejadian berlaku ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi tersebut dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Bagaimanapun, bahan yang disuntik itu masih belum diketahui.

Rafizi berpendapat, terdapat tiga kemungkinan kandungan suntikan diterima anaknya itu.

Beliau mendakwa, kemungkinan yang pertama ialah suntikan itu mengandungi bahan berbentuk dadah ataupun racun.

“Kedua, yang disuntik itu adalah berbentuk virus. Maksudnya (seperti) hepatitis, HIV dan yang lain-lain. Yang ketiga ialah dia (suntikan itu) hanya kosong, dia suntik air.

“Untuk tempoh 24 jam yang pertama, keutamaannya ialah selain daripada ujian darah, untuk kita tolak kemungkinan dadah ataupun racun.

“Yang penting ialah pemerhatian. Sekarang ini, pemerhatian nampak ok, tidak ada kesan-kesan segera,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan dua individu bermotosikal yang melakukan serangan itu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Shazeli berkata, pihaknya kini sedang menggiatkan usaha mengesan suspek yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button