BERITA SEMASA

Rafizi gembira hampir 95 peratus usaha dirangka kekal dalam RMK13

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan rasa gembira apabila hampir 95 peratus daripada perancangan dan reformasi yang dirangka ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi kekal dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan hari ini.

Katanya dalam satu kenyataan, berdasarkan ringkasan eksekutif yang sempat dibaca setakat ini, beliau berpuas hati kerana hampir semua inisiatif besar yang digerakkan sepanjang tempoh perkhidmatannya kekal menjadi sebahagian daripada kerangka dasar RMK13.

“Saya gembira kerana hampir 95 peratus dari yang dibangunkan sepanjang proses berjalan sehingga saya meletak jawatan, kekal dalam RMK13.

“Semua reformasi besar yang melibatkan perubahan sistem pendidikan, struktur ekonomi, tumpuan kepada perkara-perkara baharu seperti agenda negara menua dan pembangunan sektor ketiga semuanya dikekalkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, beberapa strategi ekonomi yang dirangka ketika itu seperti Peralihan Tenaga Nasional (NETR), KL20, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), inisiatif “Made by Malaysia”, hala tuju ke arah ekonomi berasaskan kuasa penggunaan domestik (consumption powerhouse), teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) turut dimasukkan dalam dokumen berkenaan.

Rafizi turut memetik beberapa dasar yang pernah menerima tentangan ketika digerakkan oleh kementeriannya sebelum ini termasuk pelaksanaan Akta Anti-Karpet Merah (ILTIZAM) dan pengharaman amalan Ali Baba, yang juga kekal dalam perancangan RMK13.

“Saya dijangka akan berbahas mengenai RMK13 hari Isnin atau Selasa depan. Podcast YBM pada Jumaat, 8 Ogos juga akan menampilkan Dr Muhammad Khalid bagi membincangkan RMK13 dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Menurut Rafizi, sepanjang bulan Ogos beliau akan mengupas bab demi bab RMK13 bagi membantu rakyat memahami dasar-dasar utama yang perlu diberi perhatian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi yang bertungkus-lumus menyediakan dokumen berkenaan sejak November 2022 meskipun berdepan cabaran termasuk spekulasi rombakan menteri di saat akhir.

“Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja, bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik.

“Habis satu tugas, kita semua ada tugas baharu iaitu memastikan perancangan itu dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi kerajaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button