BERITA SEMASAPOLITIK

Letak jawatan demi parti: Pegawai Rafizi umum tanding MPP PKR

KUALA LUMPUR – Pegawai kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Najib Bakar mengumumkan peletakan jawatan bagi membolehkan dirinya bertanding dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2025–2028.

Najib yang juga bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Titiwangsa berkata, keputusannya sebagai satu langkah memperkukuh hubungan antara kerajaan dan akar umbi parti.

“Saya lihat ada jurang komunikasi di antara kerajaan dan parti, di mana akar umbi parti sendiri tidak tahu dan tidak faham pelbagai usaha, dasar, inisiatif yang telah digerakkan kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.

Menurut beliau, tindakan itu diambil kerana percaya anggota parti di peringkat akar umbi perlu diberi kefahaman secukupnya agar mampu berperanan sebagai penyampai maklumat yang efektif kepada rakyat.

“Bagaimana mereka boleh diharapkan untuk menjadi ejen komunikasi jika tidak diberikan maklumat dan kefahaman secukupnya?” soalnya lagi.

Najib turut menyatakan kesediaannya untuk menyumbang dalam usaha memperkukuh jentera parti melalui platform MPP, selaras dengan visi memperkasakan komunikasi dua hala antara pentadbiran dan ahli di lapangan.

Pemilihan MPP PKR bagi penggal baharu dijangka menarik penyertaan ramai tokoh muda dalam parti yang ingin membawa nafas segar serta membina kembali keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button