BERITA SEMASAPOLITIK

Gantung Ahli Parlimen PKR tidak selesai isu – Rafizi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan penggantungan beliau dan lapan lagi Ahli Parlimen parti itu kerana menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan hal ehwal kehakiman tidak akan menyelesaikan sebarang isu.

Menurut Rafizi, tindakan tersebut hanya akan menutup ruang untuk membincangkan kebimbangan rakyat yang menjadi tanggungjawab mereka untuk disuarakan.

“Gantung kami tidak akan menyelesaikan apa-apa kerana kami dibayar oleh rakyat untuk menjadi suara mereka dan kami akan terus bersuara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahkan Ahli Parlimen Pandan itu turut memberi amaran bahawa gesaan daripada pimpinan peringkat bahagian itu akan menyebabkan PKR kehilangan sokongan dengan parti itu hanya memiliki 22 kerusi Parlimen, setaraf dengan parti dan gabungan lain seperti DAP, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Rafizi juga menganggap tindakan itu sebagai pendekatan terpilih memandangkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim juga pernah mengkritik Perdana Menteri dengan lebih lantang tanpa dikenakan tindakan disiplin.

Beliau juga mengingatkan pemimpin parti tentang asas pembentukan PKR yang mana parti tersebut dibina atas prinsip keterlibatan demokrasi dan tidak dengan menutup mulut anggota.

Rafizi menegaskan PKR selama ini dikenali kerana sifat dinamiknya dan kemampuan bertindak balas terhadap keresahan rakyat.

“Daya tarikan PKR selama ini datang daripada sifat dinamiknya yang organik dan keupayaan bertindak balas secara pantas terhadap keresahan rakyat,” tambahnya.

Sebagai nasihat sinis kepada ketua-ketua bahagian yang baru dipilih, Rafizi berkongsi peribahasa Melayu: “Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang negara tegur-tegurkan.”

Pada Sabtu lalu, 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang PKR Johor menggesa supaya sembilan Ahli Parlimen terbabit yang dipercayai dipimpin oleh Rafizi digantung keahlian kerana didakwa melanggar disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR terutamanya Perkara 10.1 dan 10.2.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh mengesahkan parti itu sedang mempertimbangkan usul berkenaan dan laporan rasmi mengenai desakan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button