BERITA SEMASAPMX

[VIDEO] Kerajaan tidak jual MAHB kepada syarikat asing – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Srri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak dijual kepada syarikat asing seperti naratif yang dicanang segelintir pihak.

Perdana Menteri berkata, penstrukturan semula MAHB itu sebaliknya akan meningkatkan pemilikan saham Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam konsortium berkenaan daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

“Sekarang ini berbangkit soal konsortium MAHB yang dimiliki sekitar 41 peratus oleh Khazanah dan KWSP (yang) mengizinkan syarikat asing khususnya Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) untuk memiliki secara bersama (saham sebanyak) 30 peratus.

“Kita nak jelaskan, perubahan ini akan (menjadikan) pemilikan saham Khazanah dan KWSP meningkat daripada 41 peratus kepada 70 peratus. Ini berbeza dengan naratif di luar, naratif luar seolah-olah (berlaku) penjualan. Tidak ada penjualan MAHB kepada syarikat asing.

“Selama ini syarikat asing memiliki sekitar 27 peratus (saham) dan inilah yang diambil alih oleh ADIA dan GIP. Itu saya nak jelaskan faktanya. Apakah ada penjualan melibatkan lapangan terbang? Tidak,” kata Anwar pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, perubahan yang dilakukan tersebut juga hanya melibatkan pengurusan MAHB.

Menurutnya, MAHB merupakan syarikat yang menguruskan lapangan terbang di negara ini.

“Adakah ada penjualan melibatkan lapangan terbang? Tidak. Ini hanya melibatkan pengurusan. Lapangan terbang kekal milik kerajaan Malaysia.

“Ini sama seperti MAHB diberi izin oleh kerajaan Turkiye menguruskan Istanbul Sabiha Gokcen International Airport. Kita diberi hak mengurus tapi milik kekal kerajaan Turkiye.

“Jadi berbeza kita menjual hak Malaysia kepada Zionis Israel. Kritikan (sebegini) baik tetapi biarlah berdasarkan fakta,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button