Doktor rugi lebih RM3 juta jadi mangsa penipuan pelaburan
ALOR SETAR – Seorang doktor swasta kerugian lebih RM3 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tawaran awam permulaan (IPO) syer yang didakwa membabitkan mata wang negara China dan Hong Kong, namun sebenarnya tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Syamsyul Anuar Saad berkata, mangsa yang berusia 60 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada 4 Mac lalu selepas menyedari dirinya ditipu.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa pada 26 Ogos tahun lalu berada di tempat kerjanya di Jalan Putra di sini sebelum terlihat satu iklan pelaburan syarikat JMC Capital di Facebook.
“Pengadu dijanjikan keuntungan sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua minggu daripada modal yang dilaburkan.
“Pengadu kemudian berurusan dengan seorang wanita sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp syarikat berkenaan. Mangsa turut diyakinkan oleh ahli kumpulan tersebut bahawa dia boleh memperoleh keuntungan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, antara 4 November hingga 4 Februari lalu, mangsa telah membuat pindahan wang berjumlah lebih RM3 juta melalui 49 transaksi berasingan ke sembilan akaun bank yang berbeza.
Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak pernah menerima sebarang pulangan daripada pelaburan yang dijanjikan.
Sehubungan itu, Syamsyul Anuar menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, khususnya yang ditawarkan melalui platform dalam talian.
Orang ramai juga disarankan memastikan sesuatu pelaburan itu mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) serta membuat semakan melalui laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








