Pelaburan digital RM54.13 bilion pacu aspirasi Malaysia jadi negara AI menjelang 2030
KUALA LUMPUR – Momentum pelaburan ekonomi digital negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila pelaburan yang diluluskan Malaysia Digital (MD) bagi suku ketiga 2025 mencecah RM54.13 bilion, mengukuhkan aspirasi untuk muncul sebagai negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.
Pelaburan tersebut merangkumi 402 syarikat digital dan dijangka mewujudkan 21,815 peluang pekerjaan bernilai tinggi, mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap ekosistem digital negara serta hala tuju pertumbuhan berasaskan AI jangka panjang.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aliran masuk pelaburan berkualiti tinggi itu membuktikan kesiapsiagaan Malaysia untuk memimpin era AI dan beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta penyelesaian AI yang berdaya saing di peringkat global.
“Menjadi negara AI menjelang 2030 memerlukan asas digital yang kukuh, infrastruktur dipercayai, bakat berkemahiran tinggi serta kerjasama global yang mantap.
“Kemasukan pelaburan digital ini menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap dasar, bakat tempatan dan visi jangka panjang Malaysia dalam pembangunan AI yang bertanggungjawab dan inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut data, pelabur berpangkalan di Singapura muncul sebagai penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan RM25.1 bilion, diikuti pelabur tempatan sebanyak RM17.2 bilion, Amerika Syarikat (RM6.4 bilion) dan China (RM3.0 bilion).
“Walaupun berdepan persekitaran pelaburan global yang tidak menentu sepanjang 2025, sektor ekonomi digital Malaysia terus berkembang ke arah segmen bernilai tinggi dan berintensifkan pekerjaan, khususnya berkaitan AI.
“Pelaburan berkaitan AI sahaja menyumbang kepada penciptaan 8,328 peluang pekerjaan, iaitu 38 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan yang dijangka diwujudkan, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap profesional digital, saintis data, jurutera AI dan bakat perkhidmatan khusus,” katanya.
Menurutnya, Lembah Klang kekal sebagai tumpuan utama pelaburan digital dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menarik 88 peratus daripada jumlah pelaburan, bernilai RM47.8 bilion serta hampir 90 peratus daripada 19,417 pekerjaan digital yang diwujudkan, disokong oleh infrastruktur matang dan kepekatan bakat yang tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, Malaysia terus menonjol sebagai destinasi pilihan pelaburan AI, didorong kedudukan strategik sebagai hab digital ASEAN dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
“Komitmen MDEC dalam membangunkan bakat masa hadapan bersama industri teknologi telah mewujudkan ekosistem kondusif yang menyokong inovasi, kebolehskalaan dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif Malaysia Digital terus menarik peneraju global dalam teknologi AI bernilai tinggi, termasuk syarikat yang beroperasi dalam ekosistem Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), sekali gus meletakkan syarikat berpangkalan di Malaysia di barisan hadapan transformasi AI negara.
Menjelang ulang tahun ke-30 MDEC pada 2026 dan kemaraan Malaysia ke arah Negara AI 2030, inisiatif Malaysia Digital dijangka terus menjadi pemacu utama inovasi, daya saing dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, selain memastikan masa depan AI negara kekal inklusif dan mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








