Kerajaan sedia teliti gabung elemen GST, SST
PUTRAJAYA – Kerajaan sedia meneliti cadangan menggabungkan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi membentuk sistem percukaian negara yang lebih progresif, efisien, dan adil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun GST diakui sebagai satu sistem yang telus, pelaksanaannya membebankan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah.
Justeru, Kementerian Kewangan dipertanggungjawabkan untuk merangka satu penyelesaian percukaian yang hibrid.
“Saya akui bahawa GST, yang saya katakan pada tahun 90-an sebagai sistem yang paling telus dan efisien, saya akui. Tetapi kita kena ingat, ia masih melibatkan semua golongan. Golongan paling miskin juga perlu membayar cukai. Daripada segi prinsip itu, saya mempunyai sedikit permasalahan daripada sudut hati nurani.
“Tidak, ia bukan sesuatu yang popular bagi ramai orang, tetapi itu adalah hakikat. Jadi, bagaimana saya hendak mengemukakan satu cadangan sistem percukaian yang semua perlu bayar, walaupun pada kadar percukaian yang kecil? Itu sahaja.
“Tetapi, apakah kita harus bergantung kepada SST sebagaimana sekarang? Sebab ia juga mempunyai kelemahan. Jadi, bagaimana kita boleh menggabungkan kedua-dua sistem ini dan mencari jalan baharu dalam menentukan sistem percukaian yang lebih progresif dan lebih efisien?,” katanya.
Anar yang juga Menteri Kewanga berkata demikian pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan komited melaksanakan pembaharuan ekonomi secara agresif tanpa mengabaikan isu kos sara hidup yang menjejaskan punca pendapatan rakyat.
Berpandukan falsafah “menggapai di langit, mengakar di bumi”, Anwar menjelaskan bahawa negara perlu seimbang dalam mengejar kemajuan teknologi tinggi dan menangani isu ‘fundamental’ rakyat.
“Kalau kita tidak menguasai AI, pendigitalan dan teknologi baharu, kita akan ketinggalan. Dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kita akan gagal sebagai sebuah negara. Itu maknanya kita perlu melihat ke hadapan. Tetapi jangan lupa, kita masih menghadapi masalah bahasa, masalah budaya, masalah kemiskinan dan kesenjangan antara golongan kaya dengan miskin. Itu maknanya kita mesti mengakar di bumi,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai iklim ekonomi semasa, Perdana Menteri menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan syarat mutlak untuk menarik kemasukan pelabur ke dalam negara.
Tindakan bertempur secara politik hanya akan merundumkan ekonomi negara dan merugikan rakyat.
“Kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita. Orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil. Sebab itu orang sergah saya kerana nampak kompromi, tapi saya ada pilihan.
“Bertempur, ekonomi menjunam, kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah yang diambil Itu di antara dua keputusan yang harus dibuat. Saya memilih untuk menjaga supaya politik stabil dan ekonomi berkembang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








