BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Guan Eng gesa kerajaan bekukan kenaikan tarif elektrik, SST hadapi cukai balas AS

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk membekukan atau menangguhkan sementara kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.2 peratus bagi sektor perniagaan serta kutipan tambahan RM10 bilion hasil peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu penting bagi membantu rakyat dan perniagaan tempatan menghadapi tekanan ekonomi susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif balas (Reciprocal Tariffs, RT) sebanyak 25 peratus ke atas barangan Malaysia bermula 1 Ogos ini.

“Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 3.00 kepada 2.75 peratus amat dialu-alukan kerana dapat meringankan beban isi rumah dan perniagaan yang kini bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan cukai baharu.

“Namun, kerajaan juga perlu mempertimbangkan pembekuan atau penangguhan terhadap dua beban utama rakyat dan perniagaan ketika ini, iaitu kenaikan tarif elektrik dan kutipan cukai tambahan SST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata walaupun kadar inflasi negara mencatat penurunan kepada 1.2 peratus pada Mei 2025 adalah terendah sejak 51 bulan lalu serta kadar penyertaan tenaga buruh mencecah paras tertinggi 70.8 peratus.

“Hakikatnya ramai rakyat masih terbeban dengan kenaikan harga barangan dan pendapatan tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas harian serta bayaran pinjaman,” katanya lagi.

Beliau berkata, laporan BNM sendiri menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara kekal berisiko susulan kelembapan perdagangan global, sentimen pasaran yang lemah dan pengeluaran komoditi yang rendah daripada jangkaan.

“Jelas sekali risiko luaran ini termasuklah tarif balas 25 peratus yang diumumkan oleh AS, dan langkah pengurangan OPR oleh BNM adalah tindakan awal yang tepat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas.

“Tetapi usaha ini harus disokong dengan dasar fiskal yang tidak menambah beban kepada pengguna dan peniaga,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap isu berkenaan dapat dibangkitkan dalam pertemuan bersama kepimpinan tertinggi kerajaan dan Ahli Parlimen kerajaan minggu hadapan.

“Kerajaan harus menunjukkan keprihatinan dengan menangguhkan sementara semua kenaikan utiliti dan cukai sehingga isu ‘perang tarif’ ini diselesaikan.

“Dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu, kebanyakan negara tidak menaikkan harga utiliti atau memperkenalkan cukai baharu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button