AMK Pulau Pinang bidas Setiausaha Agung MUDA gelar Kamil Munim ‘hipokrit’
CYBERJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang memandang serius kenyataan Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah Shafiee berhubung tuduhan kononnya Ketua AMK Malaysia, Kamil Munim bersikap hipokrit berkaitan isu penerimaan dana asing.
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal dalam satu kenyataan di Facebook menegaskan, isu dibangkitkan Kamil Munim tidak ditujukan terhadap bantuan antarabangsa yang bersifat terbuka, telus dan bertujuan memperkukuhkan pendidikan demokrasi, latihan kepimpinan, pembangunan institusi ataupun advokasi hak asasi manusia yang selaras dengan undang-undang negara.
“Sebaliknya, kebimbangan yang beliau suarakan menjurus kepada kewujudan dana yang dilihat tersusun dan terancang, melibatkan individu serta pertubuhan tertentu yang dipercayai sedang menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber serta provokasi jalanan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.
“Tindakan sedemikian, sekiranya benar berlaku, berpotensi menggugat keharmonian awam, keselamatan serta kestabilan negara,” kata Muhammad Zakwan, hari ini.
Kenyataan dikeluarkan Kamil Munim juga tidak pernah menyeru supaya tindakan diambil secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan masyarakat sivil.
“Sebaliknya, beliau hanya menegaskan bahawa siasatan wajar dijalankan sekiranya terdapat elemen yang boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya lagi.
Pendekatan sedemikian, jelas beliau, adalah selari dengan amalan banyak negara lain yang turut mempunyai mekanisme pemantauan terhadap pembiayaan asing demi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta mengelakkan sebarang bentuk campur tangan luar yang tidak sihat terhadap urusan domestik negara.
“Justeru, adalah tidak adil untuk menggambarkan kenyataan Kamil Munim sebagai serangan terhadap kebebasan NGO ataupun masyarakat sivil.
Perbahasan mengenai pembiayaan asing dan keselamatan negara perlu dibincangkan secara matang, rasional dan berasaskan fakta, bukannya dipolitikkan atau dijadikan alasan untuk menyerang peribadi pihak tertentu,” katanya.
Isu sedemikian, kata Muhammad Zakwan, tidak boleh dipandang ringan ataupun dipolemikkan secara dangkal dan memohon supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan secara menyeluruh, bebas dan telus terhadap segala pendedahan yang sedang berlegar ketika ini.
“AMK Pulau Pinang juga berharap agar tidak wujud mana-mana ‘tangan ghaib’ yang cuba memporak-perandakan kestabilan politik, keselamatan serta keharmonian negara demi kepentingan pihak tertentu.
“Kita harus mempertahankan demokrasi dengan penuh tanggungjawab, berpandukan undang-undang dan kepentingan rakyat, bukannya membuka ruang kepada campur tangan yang boleh merosakkan masa depan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















