Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 tarik 4,500 peserta
TANJONG KARANG – Keunikan berlari di tengah hamparan sawah padi terus menjadi tarikan apabila Wasiyyah Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 berjaya menghimpunkan seramai 4,500 peserta dari pelbagai negeri semalam.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding kira-kira 3,500 peserta yang menyertai acara sama pada edisi terdahulu.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, penganjuran itu bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan keindahan Tanjong Karang, budaya masyarakat setempat serta merancakkan ekonomi komuniti luar bandar.

Menurutnya, penyertaan yang semakin meningkat membuktikan ramai mula tertarik dengan konsep larian yang menggabungkan aktiviti fizikal, alam semula jadi, budaya dan komuniti dalam satu pengalaman.
“Larian ini membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar mengajak masyarakat untuk berlari. Kami mahu orang ramai datang ke Tanjong Karang, merasai sendiri suasana sawah padi, mengenali masyarakat pesawah dan pada masa sama membantu menggerakkan ekonomi setempat.
“Apabila peserta datang dari luar Tanjong Karang, mereka bukan sahaja menyertai larian, malah berpeluang menikmati makanan tempatan, mengenali budaya setempat, membeli produk tempatan serta meneroka kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ariffin berkata, penganjuran kali ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Wasiyyah yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat menerusi gaya hidup sihat, penglibatan komuniti dan pembangunan ekonomi setempat.
Tambah beliau, antara tarikan utama acara itu ialah laluan yang dikelilingi sawah padi menghijau serta suasana kampung yang menawarkan pengalaman berbeza berbanding larian di kawasan bandar.

“Peserta turut melalui 14 pusat hentian yang menyediakan pelbagai aktiviti termasuk sajian makanan tradisional dan permainan rakyat yang mengimbau nostalgia.
“Ini bukan sekadar larian biasa tetapi satu pengalaman yang menggabungkan kecergasan, budaya, makanan dan kehidupan komuniti setempat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, acara berkenaan turut menampilkan penyertaan komuniti pelari anak istimewa yang mencerminkan nilai keterangkuman serta semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
Menurut penganjur, kehadiran ribuan peserta dan pengunjung turut membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, pemilik penginapan serta usahawan tempatan di kawasan berkenaan.
Penganjuran Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 diharap dapat terus berkembang sebagai platform yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkenalkan Tanjong Karang sebagai destinasi agro pelancongan yang unik dan berpotensi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








