Belanjawan 2026: RM2.62 bilion untuk pesawah – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah tahun depan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi dan bantuan itu antaranya termasuk subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih dan insentif pengeluaran padi.
“Kerajaan Madani membela nasib para pesawah dengan menyediakan subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah.
“Bermula tahun ini, Kerajaan Madani menaikkan kadar insentif pembajakan dan insentif racun masing-masing kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan, sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk menambah baik kemudahan penjaja dan perumahan rakyat.
Beliau berkata, sebanyak RM200 juta untuk membangun semula pusat penjaja, pasar serta medan selera yang usang.
Menurutnya, RM300 juta lagi bagi menyelenggara bangunan, sistem pendawaian dan kemudahan jalan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Saya sempat turun ke Pantai Dalam baru-baru ini meninjau keadaan perumahan rakyat yang sering mengalami masalah lif.
“Saya juga telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera memulakan kerja membaik pulih semua kerosakan lif rumah rakyat sebelum akhir tahun ini,” katanya lagi.
Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan RM60 juta untuk membina gerai dan membaiki pasar awam di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








