BERITA SEMASADALAM NEGERI

Defisit fiskal terus berkurang, hasil Persekutuan dijangka cecah RM343 bilion tahun depan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI kekal komited terhadap disiplin fiskal yang berhemah dan konsisten dengan sasaran defisit negara terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun 2026.

Ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata usaha mengurangkan defisit kekal menjadi teras utama reformasi fiskal kerajaan, bagi memastikan kedudukan kewangan negara lebih mampan dan diyakini pasaran antarabangsa.

“Kerajaan di bawah MADANI konsisten menurunkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022, 5 peratus (2023), 4.1 peratus (2024) dan bertekad mencapai 3.8 peratus pada 2025. Tahun depan, kita menyasarkan penurunan lanjut kepada 3.5 peratus,” katanya.

Anwar menjelaskan bahawa penurunan defisit tersebut akan turut mengawal jumlah hutang baharu negara, yang menunjukkan trend penurunan konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal daripada RM100 bilion pada 2022, RM92 bilion (2023), RM77 bilion (2024), sekitar RM77 bilion (2025) dan diusahakan untuk turun lagi tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata, langkah strategik itu menjadi isyarat jelas kepada pelabur asing dan pasaran antarabangsa bahawa Malaysia serius dalam mengurus kewangan awam dengan penuh tanggungjawab, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap kestabilan ekonomi negara.

Selain itu, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada RM343.1 bilion pada tahun hadapan, berbanding unjuran RM334.1 bilion tahun ini, didorong oleh peningkatan hasil cukai dan pertumbuhan ekonomi yang stabil.

“Dengan disiplin berterusan, defisit fiskal tiga peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana,” tegas Perdana Menteri.

Beliau menambah, langkah-langkah pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan MADANI akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan hasil negara, pengurusan hutang berhemat, dan pelaburan strategik, bagi memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button