JENAYAH & MAHKAMAH

Polis banteras sindiket ‘bomoh’ tipu wang mangsa kira-kira RM600,000

KOTA KINABALU – Polis berjaya membongkar sindiket ‘bomoh’ yang menawarkan khidmat membuang sial dan menilik nasib yang menyebabkan kerugian mangsa dengan nilai keseluruhan kira-kira RM600,000.

Kegiatan yang dipercayai aktif sejak awal tahun itu terbongkar selepas polis menahan 12 individu termasuk warga China menerusi beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud pada Sabtu dan Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) berkaitan.

Katanya, keseluruhan tangkapan membabitkan 10 wanita dan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan di Kota Kinabalu dan Keningau pada Sabtu lalu, polis menahan empat individu sebelum operasi diteruskan di Kota Belud pada keesokan harinya.

“Dalam serbuan di Kota Belud, lapan lagi suspek termasuk tujuh wanita warga China ditahan,” katanya memetik Hari Metro hari ini.

Mohd Azhar berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa sebelum menawarkan bantuan berkaitan ubat tradisional, rawatan penyakit atau upacara sembahyang untuk membuang sial.

Menurutnya, suspek kemudian memperkenalkan seorang lagi wanita yang mendakwa mampu menilik nasib, mengubat atau menjalankan upacara tertentu.

“Mangsa kemudiannya dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas kononnya untuk tujuan doa, jampi atau sembahyang.

“Wang atau barang kemas itu kemudian dilarikan atau ditukar dengan barangan lain yang dimasukkan ke dalam plastik atau beg,” katanya.

Beliau berkata, mangsa biasanya diarahkan supaya tidak membuka plastik atau beg berkenaan dalam tempoh tertentu bagi memberi masa kepada suspek melarikan diri.

Katanya, sindiket itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lima hingga enam kes yang dilaporkan dan aktif sejak awal tahun ini termasuk di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan.

“Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM600,000 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam operasi itu, beliau berkata polis turut merampas 13 telefon bimbit, 13 kad SIM, tujuh pasport serta wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM), Renminbi (RMB) dan Baht Thailand dengan keseluruhan kira-kira RM20,000.

“Turut dirampas lima kenderaan iaitu Perodua Alza, Proton X50, Toyota Corolla, Toyota Land Cruiser dan Honda HR-V,” katanya.

Mohd Azhar berkata, suspek bagi kes di Kota Kinabalu direman sehingga 14 Ogos ini dan siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Katanya, pertuduhan bagi kes di Kota Kinabalu dijangka dibuat esok, manakala pertuduhan berkaitan kes di Sandakan dijadualkan minggu hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button