BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM rampas aset RM31.4 bilion, lupus aset haram lebih RM28 bilion dalam lima tahun

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas aset bernilai lebih RM31.4 bilion dalam tempoh lima tahun, termasuk pelucutan hak harta hampir RM28 bilion hasil aktiviti jenayah.

Aset yang dirampas meliputi hartanah, wang tunai, kenderaan mewah, jam tangan berjenama serta beg eksklusif, kebanyakannya berkait dengan kes sindiket penyeludupan, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu hasil pelbagai operasi besar seperti Op Metal yang membawa kepada rampasan aset bernilai RM183 juta daripada sindiket penyeludupan besi.

“Antara rampasan lain termasuk hartanah bernilai RM620 juta dalam projek rangkaian fiber, aset mewah bernilai RM32 juta yang diperoleh daripada kediaman seorang bergelar Tan Sri melibatkan 217 unit jam tangan mewah dan 27 unit tas tangan berjenama selain aset bernilai RM36 juta membabitkan wang tunai, kereta mewah dan akaun bank dalam kes penyelewengan dana pembinaan lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam menegaskan, usaha pelucutan hak aset itu bukan sekadar mengembalikan hasil negara, tetapi juga penting bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa.

Menurutnya, tindakan menyita dan melucut hak aset adalah langkah kritikal untuk memastikan penjenayah tidak dapat menikmati keuntungan daripada hasil haram mereka.

Namun, beliau mengakui proses pelupusan aset bukanlah sesuatu yang mudah kerana melibatkan undang-undang yang kompleks, rayuan dan pertikaian yang memakan masa panjang.

“Pada masa ini, SPRM masih menguruskan 41 hartanah yang menunggu pelupusan, selain berdepan kekangan ketiadaan mekanisme penyelenggaraan yang seragam serta peruntukan khusus untuk kos penyelenggaraan dan guaman,” katanya.

Katanya, semua operasitersebut membuktikan SPRM sentiasa proaktif dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram, sekali gus memulihkan semula hasil negara yang telah diseleweng.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button